Terap Lintah Buat Penyakit Bisul
Terapi Lintah Buat sinus
Pelatihan Bekam
SEBAHAGIAN DARIPADA TANDA BERSANDAR KEPADA AMAL
(PERBUATAN ZAHIR) ADALAH BERKURANGAN HARAPANNYA (SUASANA HATI) TATKALA
BERLAKU PADANYA KESALAHAN.
Imam Ibnu Athaillah memulakan Kalam Hikmat beliau
dengan mengajak kita merenung kepada hakikat amal. Amal boleh dibahagikan
kepada dua jenis iaitu perbuatan zahir dan perbuatan hati atau suasana hati
berhubung dengan perbuatan zahir itu. Beberapa orang boleh melakukan
perbuatan zahir yang serupa tetapi suasana hati berhubung dengan perbuatan
zahir itu tidak serupa. Kesan amalan zahir kepada hati berbeza antara seorang
dengan seorang yang lain. Jika amalan zahir itu mempengaruhi suasana hati,
maka hati itu dikatakan bersandar kepada amalan zahir. Jika hati dipengaruhi
juga oleh amalan hati, maka hati itu dikatakan bersandar juga kepada amal,
sekalipun ianya amalan batin. Hati yang bebas daripada bersandar kepada amal
sama ada amal zahir atau amal batin adalah hati yang menghadap kepada Allah
s.w.t dan meletakkan pergantungan kepada-Nya tanpa membawa sebarang amal,
zahir atau batin, serta menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t tanpa sebarang
takwil atau tuntutan. Hati yang demikian tidak menjadikan amalnya, zahir dan
batin, walau berapa banyak sekalipun, sebagai alat untuk tawar menawar dengan
Tuhan bagi mendapatkan sesuatu. Amalan tidak menjadi perantaraan di antaranya
dengan Tuhannya. Orang yang seperti ini tidak membataskan kekuasaan dan
kemurahan Tuhan untuk tunduk kepada perbuatan manusia. Allah s.w.t Yang Maha
Berdiri Dengan Sendiri berbuat sesuatu menurut kehendak-Nya tanpa dipengaruhi
oleh sesiapa dan sesuatu. Apa sahaja yang mengenai Allah s.w.t adalah mutlak,
tiada had, sempadan dan perbatasan. Oleh kerana itu orang arif tidak
menjadikan amalan sebagai sempadan yang mengongkong ketuhanan Allah s.w.t
atau ‘memaksa’ Allah s.w.t berbuat sesuatu menurut perbuatan makhluk.
Perbuatan Allah s.w.t berada di hadapan dan perbuatan makhluk di belakang.
Tidak pernah terjadi Allah s.w.t mengikuti perkataan dan perbuatan seseorang
atau sesuatu.Sebelum menjadi seorang yang arif, hati manusia memang berhubung
rapat dengan amalan dirinya, baik yang zahir mahu pun yang batin. Manusia
yang kuat bersandar kepada amalan zahir adalah mereka yang mencari faedah
keduniaan dan mereka yang kuat bersandar kepada amalan batin adalah yang
mencari faedah akhirat. Kedua-dua jenis manusia tersebut berkepercayaan
bahawa amalannya menentukan apa yang mereka akan perolehi baik di dunia dan juga
di akhirat. Kepercayaan yang demikian kadang-kadang membuat manusia hilang
atau kurang pergantungan dengan Tuhan. Pergantungan mereka hanyalah kepada
amalan semata-mata ataupun jika mereka bergantung kepada Allah s.w.t,
pergantungan itu bercampur dengan keraguan. Seseorang manusia boleh memeriksa
diri sendiri apakah kuat atau lemah pergantungannya kepada Allah s.w.t. Kalam
Hikmat 1 yang dikeluarkan oleh Ibnu Athaillah memberi petunjuk mengenainya.
Lihatlah kepada hati apabila kita terperosok ke dalam perbuatan maksiat atau
dosa. Jika kesalahan yang demikian membuat kita berputus asa daripada rahmat
dan pertolongan Allah s.w.t itu tandanya pergantungan kita kepada-Nya sangat
lemah. Firman-Nya:
“Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar
berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus
asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari
rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir ”. ( Ayat 87 :
Surah Yusuf )
Ayat di atas menceritakan bahawa orang yang beriman
kepada Allah s.w.t meletakkan pergantungan kepada-Nya walau dalam keadaan
bagaimana sekali pun. Pergantungan kepada Allah s.w.t membuat hati tidak
berputus asa dalam menghadapi dugaan hidup. Kadang-kadang apa yang diingini,
dirancangkan dan diusahakan tidak mendatangkan hasil yang diharapkan.
Kegagalan mendapatkan sesuatu yang diingini bukan bermakna tidak menerima
pemberian Allah s.w.t. Selagi seseorang itu beriman dan bergantung kepada-Nya
selagi itulah Dia melimpahkan rahmat-Nya. Kegagalan memperolehi apa yang
dihajatkan bukan bermakna tidak mendapat rahmat Allah s.w.t. Apa juga yang
Allah s.w.t lakukan kepada orang yang beriman pasti terdapat rahmat-Nya,
walaupun dalam soal tidak menyampaikan hajatnya. Keyakinan terhadap yang demikian
menjadikan orang yang beriman tabah menghadapi ujian hidup, tidak sekali-kali
berputus asa. Mereka yakin bahawa apabila mereka sandarkan segala perkara
kepada Allah s.w.t, maka apa juga amal kebaikan yang mereka lakukan tidak
akan menjadi sia-sia.
Orang yang tidak beriman kepada Allah s.w.t berada
dalam situasi yang berbeza. Pergantungan mereka hanya tertuju kepada amalan
mereka, yang terkandung di dalamnya ilmu dan usaha. Apabila mereka mengadakan
sesuatu usaha berdasarkan kebolehan dan pengetahuan yang mereka ada, mereka
mengharapkan akan mendapat hasil yang setimpal. Jika ilmu dan usaha
(termasuklah pertolongan orang lain) gagal mendatangkan hasil, mereka tidak
mempunyai tempat bersandar lagi. Jadilah mereka orang yang berputus asa.
Mereka tidak dapat melihat hikmat kebijaksanaan Allah s.w.t mengatur
perjalanan takdir dan mereka tidak mendapat rahmat dari-Nya.
Jika orang kafir tidak bersandar kepada Allah s.w.t
dan mudah berputus asa, di kalangan sebahagian orang Islam juga ada yang
demikian, bergantung setakat mana sifatnya menyerupai sifat orang kafir.
Orang yang seperti ini melakukan amalan kerana kepentingan diri sendiri,
bukan kerana Allah s.w.t. Orang ini mungkin mengharapkan dengan amalannya itu
dia dapat mengecapi kemakmuran hidup di dunia.Dia mengharapkan semoga amal
kebajikan yang dilakukannya dapat mengeluarkan hasil dalam bentuk bertambah
rezekinya, kedudukannya atau pangkatnya, orang lain semakin menghormatinya
dan dia juga dihindarkan daripada bala penyakit, kemiskinan dan sebagainya. Bertambah
banyak amal kebaikan yang dilakukannya bertambah besarlah harapan dan
keyakinannya tentang kesejahteraan hidupnya.
Sebahagian kaum muslimin yang lain mengaitkan amal
kebaikan dengan kemuliaan hidup di akhirat. Mereka memandang amal salih
sebagai tiket untuk memasuki syurga, juga bagi menjauhkan azab api neraka.
Kerohanian orang yang bersandar kepada amal sangat lemah, terutamanya mereka
yang mencari keuntungan keduniaan dengan amal mereka. Mereka tidak tahan
menempuh ujian. Mereka mengharapkan perjalanan hidup mereka sentiasa selesa
dan segala-segalanya berjalan menurut apa yang dirancangkan. Apabila sesuatu
itu berlaku di luar jangkaan, mereka cepat naik panik dan gelisah. Bala
bencana membuat mereka merasakan yang merekalah manusia yang paling malang di
atas muka bumi ini. Bila berjaya memperoleh sesuatu kebaikan, mereka
merasakan kejayaan itu disebabkan kepandaian dan kebolehan mereka sendiri.
Mereka mudah menjadi ego serta suka menyombong.
Apabila rohani seseorang bertambah teguh dia melihat
amal itu sebagai jalan untuknya mendekatkan diri dengan Tuhan. Hatinya tidak
lagi cenderung kepada faedah duniawi dan ukhrawi tetapi dia berharap untuk
mendapatkan kurniaan Allah s.w.t seperti terbuka hijab-hijab yang menutupi
hatinya. Orang ini merasakan amalnya yang membawanya kepada Tuhan. Dia sering
mengaitkan pencapaiannya dalam bidang kerohanian dengan amal yang banyak
dilakukannya seperti berzikir, bersembahyang sunat, berpuasa dan lain-lain.
Bila dia tertinggal melakukan sesuatu amal yang biasa dilakukannya atau bila
dia tergelincir melakukan kesalahan maka dia berasa dijauhkan oleh Tuhan.
Inilah orang yang pada peringkat permulaan mendekatkan dirinya dengan Tuhan
melalui amalan tarekat tasauf.
Jadi, ada golongan yang bersandar kepada amal
semata-mata dan ada pula golongan yang bersandar kepada Tuhan melalui amal.
Kedua-dua golongan tersebut berpegang kepada keberkesanan amal dalam
mendapatkan sesuatu. Golongan pertama kuat berpegang kepada amal zahir, iaitu
perbuatan zahir yang dinamakan usaha atau ikhtiar. Jika mereka tersalah
memilih ikhtiar, hilanglah harapan mereka untuk mendapatkan apa yang mereka
hajatkan. Ahli tarekat yang masih diperingkat permulaan pula kuat bersandar
kepada amalan batin seperti sembahyang dan berzikir. Jika mereka tertinggal
melakukan sesuatu amalan yang biasa mereka lakukan, akan berkurangan harapan
mereka untuk mendapatkan anugerah dari Allah s.w.t. Sekiranya mereka
tergelincir melakukan dosa, akan putuslah harapan mereka untuk mendapatkan
anugerah Allah s.w.t.
Dalam perkara bersandar kepada amal ini, termasuklah
juga bersandar kepada ilmu, sama ada ilmu zahir atau ilmu batin. Ilmu zahir
adalah ilmu pentadbiran dan pengurusan sesuatu perkara menurut kekuatan akal.
Ilmu batin pula adalah ilmu yang menggunakan kekuatan dalaman bagi menyampaikan
hajat. Ia termasuklah penggunaan ayat-ayat al-Quran dan jampi. Kebanyakan
orang meletakkan keberkesanan kepada ayat, jampi dan usaha, hinggakan mereka
lupa kepada Allah s.w.t yang meletakkan keberkesanan kepada tiap sesuatu itu.
Seterusnya, sekiranya Tuhan izinkan, kerohanian
seseorang meningkat kepada makam yang lebih tinggi. Nyata di dalam hatinya
maksud kalimat:
Tiada daya dan upaya kecuali beserta Allah.
“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda
yang kamu perbuat itu!” ( Ayat 96 : Surah as- Saaffaat )
Orang yang di dalam makam ini tidak lagi melihat
kepada amalnya, walaupun banyak amal yang dilakukannya namun, hatinya tetap
melihat bahawa semua amalan tersebut adalah kurniaan Allah s.w.t kepadanya.
Jika tidak kerana taufik dan hidayat dari Allah s.w.t tentu tidak ada amal
kebaikan yang dapat dilakukannya. Allah s.w.t berfirman:
“Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk
mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat
pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya
itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak
bersyukur (maka tidaklah menjadi masalah kepada Allah), kerana sesungguhnya
Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”. ( Ayat 40 : Surah
an-Naml )
Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu
perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah
adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara
yang dikehendaki-Nya). Ia memasukkan sesiapa yang kehendaki-Nya (menurut
aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmat-Nya (dengan ditempatkan-Nya di dalam
syurga); dan orang-orang yang zalim, Ia menyediakan untuk mereka azab seksa
yang tidak terperi sakitnya. ( Ayat 30 & 31 : Surah al-Insaan )
Segala-galanya adalah kurniaan Allah s.w.t dan
menjadi milik-Nya. Orang ini melihat kepada takdir yang Allah s.w.t tentukan,
tidak terlihat olehnya keberkesanan perbuatan makhluk termasuklah perbuatan
dirinya sendiri. Makam ini dinamakan makam ariffin iaitu orang yang mengenal
Allah s.w.t. Golongan ini tidak lagi bersandar kepada amal namun, merekalah
yang paling kuat mengerjakan amal ibadat.
Orang yang masuk ke dalam lautan takdir, reda dengan
segala yang ditentukan Allah s.w.t, akan sentiasa tenang, tidak berdukacita
bila kehilangan atau ketiadaan sesuatu. Mereka tidak melihat makhluk sebagai
penyebab atau pengeluar kesan.
Di awal perjalanan menuju Allah s.w.t, seseorang itu
kuat beramal menurut tuntutan syariat. Dia melihat amalan itu sebagai
kenderaan yang boleh membawanya hampir dengan Allah s.w.t. Semakin kuat dia
beramal semakin besarlah harapannya untuk berjaya dalam perjalanannya.
Apabila dia mencapai satu tahap, pandangan mata hatinya terhadap amal mula
berubah. Dia tidak lagi melihat amalan sebagai alat atau penyebab.
Pandangannya beralih kepada kurniaan Allah s.w.t. Dia melihat semua amalannya
adalah kurniaan Allah s.w.t kepadanya dan kehampirannya dengan Allah s.w.t
juga kurniaan-Nya. Seterusnya terbuka hijab yang menutupi dirinya dan dia
mengenali dirinya dan mengenali Tuhannya. Dia melihat dirinya sangat lemah,
hina, jahil, serba kekurangan dan faqir. Tuhan adalah Maha Kaya, Berkuasa,
Mulia, Bijaksana dan Sempurna dalam segala segi. Bila dia sudah mengenali
dirinya dan Tuhannya, pandangan mata hatinya tertuju kepada Kudrat dan Iradat
Allah s.w.t yang menerajui segala sesuatu dalam alam maya ini. Jadilah dia
seorang arif yang sentiasa memandang kepada Allah s.w.t, berserah diri
kepada-Nya, bergantung dan berhajat kepada-Nya. Dia hanyalah hamba Allah
s.w.t yang faqir.
Bersambung.... |